Cari ‘brader’ ni kalau anda tak cukup duit nak isi minyak petrol

0
185
Kindness Malaysia

Pernahkah anda mengalami keadaan dimana jarum minyak motosikal anda menunjukkan ‘E’ tetapi apabila dompet dibuka, kosong… Resah? Gelisah? Selepas ini, kalau anda mengalami masalah yang sama lagi, cuba cari ‘brader’ ni.

Beliau telah sekian lama menampal pelekat di motosikal yang memaparkan mesej seperti di bawah.

“Saya Ada Rezeki Lebih. Minta Saya Isi Petrol Secara Percuma”

minyak petrol

Menurut beliau, pelekat tersebut  telah ditampal sejak lebih setengah tahun yang lalu tetapi sehingga kini belum ada sesiapa pun yang datang untuk menuntut petrol tersebut.

Jadi apa yang beliau lakukan sekarang adalah setiap kali beliau berhenti untuk mengisi minyak, beliau akan membayar RM20 di kaunter dan mula mengisi minyak secara perlahan dan apabila ada penunggang motosikal lain yang datang, beliau akan memanggil dan berkongsi minyak tersebut.

Kami mendapat keizinan untuk berkongsi status Facebook dan kisah beliau di laman ini. Dipetik dari status Facebook beliau :

“Dah lebih setengah tahun, letak stiker minyak petrol percuma dekat motor, hingga hari ini belum ada yang berani tegur “claim” petrol percuma dari saya.
Maka saya jadikan rutin seminggu dua kali, saya akan isi minyak betul2 lepas solat Subuh. Letak RM20, kemudian isi perlahan2, dan bila ada motor lain datang, saya akan panggil untuk isi petrol sekali.”

Menurut statusnya lagi :

“Bila fikir balik, dah lebih 6 bulan letak stiker petrol percuma di motor, tiada siapa pun tergerak hati nak minta petrol percuma dari saya. Saya yang kena panggil ajak orang untuk ambil petrol percuma masa saya isi minyak. Mungkin ada banyak sebab Tuhan tidak gerakkan hati orang lain yang nampak stiker pada motor saya untuk minta petrol percuma dari saya.
Takpa, kita cuba lagi. Impian saya nak jadi asbab kebaikan kepada banyak perkara. Biar dalam banyak2 kebaikan yang berlaku sekarang, saya turut ada share dalamnya. Barulah rasa ada sinar harapan sedikit di kemudian hari, insyaAllah…”

Kindness Malaysia

Masih ada lagi orang yang sentiasa cuba melakukan kebaikan di Malaysia ini. Sikap seperti inilah yang wajar kita contohi.

Siapa sebenarnya beliau? Beliau adalah Muhammad Bin Kamarulazizi, pengasas sebuah NGO yang dinamakan ‘Kindness Malaysia’ dimana NGO ini ditubuhkan untuk menyebar dan menggalakkan orang untuk melakukan kebaikan.

Baru baru ini, beliau telah dijemput sebagai salah satu ahli panel di Majlis Pelancaran ‘World Kindness USA’

Kindness Malaysia

Untuk mengikuti kisah beliau, boleh ‘follow‘ beliau di Facebook. Banyak kisah dan cara cara untuk melakukan kebaikan yang boleh dipelajari dari beliau.

Kalau anda berminat untuk menyumbang atau menyertai NGO sebagai sukarelawan, boleh ke laman web Kindness Malaysia di https://kindness.my/